1. Maksimum antara 16 dan 17 pelajar pada satu-satu masa sebaik saja sesi persekolahan dibuka semula. Demikian Penyelesaian Radzi Jidin, Menteri Pelajaran kerajaan Perikatan Nasional yang tidak mendapat mandat rakyat dalam Pilihanraya Umum ke-14.
2. Cadangan beliau ini menunjukkan betapa beliau sama sekali tidak mengetahui apa yang sedang berlaku di sekolah. Mungkin kerana anak-anak Radzi sebelumnya pun tidak pernah menempuh alam persekolahan di Malaysia memandangkan beliau masih baru pulang dari Australia.
3. Radzi tidak tahu betapa mustahilnya melakukan saranan beliau yang tidak kreatif itu. Di Lembah Kelang, oleh lambakan murid yang ramai, kebanyakan sekolah harus mengadakan dua sesi. Adakah Radzi akan mencadangkan sesi ketiga iaitu pada malam hari? Atau, adakah Radzi akan mencadangkan idea menggilirkan persekolahan anak-anak di mana hari ini anak engkau, esok anak aku yang ke sekolah?
4. Nampaknya opah di kampung akan mengeluh kerana pelajaran cucunya di bandar terabai, semua dek idea tidak realistik Radzi.
5. Adakah Radzi juga mengetahui ketidakcukupan jumlah guru di Lembah Kelang yang mana kadang-kala seorang guru akan mengajar mata pelajaran yang tidak pun dikuasainya? Adakah Radzi pernah turun padang melihat sekolah yang prasarananya cukup menyedihkan? Adakah Radzi tahu bagaimana ramainya pelajar dan murid tercicir oleh Perintah Kawalan Pergerakan ini kerana tiada kemudahan teknologi dan internet?
6. Apa yang Radzi tahu?
7. Mengapa Menteri Pelajaran kita yang kononnya pernah menempuh kerjaya hebat di Australia ini mengeluarkan idea tidak masuk akal begini?
8. Elok kita mencari semula rekod Radzi Jidin di Australia. Adakah beliau seorang yang benar-benar hebat seperti digambarkan oleh dirinya sendiri.
9. Membaca karier Radzi Jidin, kita akan mendapati beliau adalah seorang penunggang kerja orang. Yakni seseorang yang tidak akan dapat ke mana-mana tanpa merit atau keupayaan sendiri.
10. Apakah nilai PhD atau gelaran Dr di hadapan nama Radzi Jidin, Menteri Pelajaran yang dilantik oleh kerajaan Perikatan Nasional ini. Radzi mendaftar program PhD dalam tahun 2002 di Australia. akan tetapi dia hanya menyelesaikan tanggungjawabnya pada tahun 2011.
11. Untuk orang di luar dunia akademik ini mungkin tidak menggambarkan apa-apa. Namun, sejarah Radzi ini menjadi buah mulut dalam kalangan orang universiti. Ini kerana pengajian beliau berlangsung selama sembilan tahun yang panjang. Orang di universiti tahu yang seorang calon Phd berasal dari Australia lazimnya mengambil masa empat tahun untuk menyiapkan tesisnya sehingga tiba ke tahap peperiksaan lisan (viva). Calon dari luar negara di Australia pula kebiasaannya rata-rata mengambil masa tiga ke tiga tahun setengah untuk melengkapkan keperluan universiti tempat asal mereka bertugas. Katakan calon PhD itu ditanggung oleh kerajaan mereka untuk meraih doktorat di Australia. Dalam kes Radzi, beliau diberi tiga tahun oleh sebuah universiti di Malaysia di bawah skim latihan akademik Bumiputera yang dibiayai para pembayar cukai. Ini bermakna wang kita rakyat pelbagai kaum dan lapisan baik B40, atau M40 pernah menanggung hidup Radzi dan keluarganya di Australia sepanjang pengajian beliau di sana. Ingat, pengajian yang terlebih masa.
12. Apa yang Radzi lakukan? Orang kampung akan mengatakan, Radzi menghabiskan beras.
13. Ketika di Australian National University (ANU) beliau membuat kerja sambilan sebagai seorang tutor atau pembantu pensyarah. Jangan biarkan Radzi bergebang menceritakan kehebatan dirinya di sana. Orang universiti tahu, ANU di tempat Radzi itu, terdapat dua sayap. Iaitu, sayap pertama; The Institute of Advanced Studies, yang mengambil model Universiti Princeton di Amerika Syarikat. Ia adalah sebuah pusat penyelidikan cemerlang dengan sekumpulan pengkaji berwibawa dari pelbagai pusat kajian terkemuka dunia. Sebuah lagi sayap pula adalah fakulti untuk pelajar berijazah yang sarat tuntutan dan keperluan mengajar. Yang mana seorang pensyarah di sini adalah semacam seorang guru sekolah menengah dengan pelbagai kerenah. Radzi berada di sini, mengajar pelajar ijazah sarjana muda dan sambil itu, menghabiskan masa yang banyak menguruskan Kelab Umno. Patutlah. Radzi tidak pun rasa ada ‘amanah’ untuk negara, iaitu menyempurnakan tesis dan pulang berkhidmat. Ingat, kehidupan beliau di sana ditanggung pembayar cukai.
14. Maka tidaklah menghairankan penguasaan bahasa Inggeris beliau sungguh lemah, yang mana membuatkan kita tertanya-tanya apakah pengalamannya di Australia itu tidak membantu langsung? Kita malu bila beliau bertutur dalam bahasa Inggeris. Kita akan segera dapat merumuskan betapa banyak masanya telah dihabiskan untuk berpolitik di kalangan mahasiswa Melayu, yakni mengabaikan ‘amanah’ pengajiannya dalam masa yang sepatutnya.
15. Kemudian Radzi berpindah ke University of New South Wales. Orang universiti tahu, selalunya, sebaik sahaja seorang calon PhD selesai pengajian, mereka akan mulai mencari jalan menerbitkan tulisan dan hasil kajiannya di pelbagai jurnal demi meninggalkan jejak sebagai seorang yang arif atau pakar dalam bidang kajiannya. Selalunya perjalanan ini akan membawa seseorang graduan PhD ke pelbagai tempat, melompat dari satu dana penyelidikan ke yang lainnya sehinggalah statusnya sebagai seorang ahli akademik dianggap kukuh. Biasanya, di peringkat ini, seorang akademik itu akan bergelar Doktor dan akan mula menyelia pula siswa PhD. Lambat-laun sarjana itu akan mencipta langkah menuju ke tahap profesor – tahap paling mulia dalam dunia akademik.
16. Adakah Radzi menempuhi tahap ini? Kita perlu tahu, kerana kita mendapati Radzi memberikan penyelesaian untuk persekolahan anak-anak kita seolah-olah seorang yang tidak punya PhD. Gaya Radzi seperti Radzi tidak pun tahu apa-apa tentang alam pendidikan. Ini bahaya untuk anak-anak kita, sama bahaya dengan Covid19.
17. Seorang pemimpin tanpa idea untuk memimpin sangat berbahaya.
18. Radzi mengambil masa enam tahun kemudian, dalam tahun 2017 untuk menerbitkan satu tulisan ilmiah sulungnya dalam bentuk bab dalam buku. Hal seperti ini adalah satu skandal dalam kalangan orang universiti. Penerbitan Radzi itu pula bukan sebagai pengarang utama, dan hanya sebagai pengarang bersama iaitu bersama-sama bekas penyelia beliau. Kelihatannya tawaran menerbitkan bab dalam buku itu datang dari Dr Monroe, bekas penyelianya sendiri. Kalau bukan kerana mentor beliau tersebut, Radzi tidak akan menerbitkan satu apa pun. Ternyata, itulah satu-satunya penerbitan beliau sebagai pengarang atau pengkaji: R. Jidin and G.S. Monroe. 2017. The importance of considering social desirability bias. In: Theresa Libby & Linda Thorne (editors), The Routledge Companion to Behavioural Accounting Research. Taylor and Francis.
19. Sebaik sebelum pulang ke Malaysia, terdapat dua lagi makalah diterbitkan atas nama beliau. Namun, beliau hanyalah nama ketiga dalam susunan pengarang bagi makalah-makalah itu, yang dihasilkan bersama empat atau lima pensyarah lain. Kalau kita bertanya orang universiti, mereka akan tersenyum sinis, kerana dalam dunia akademik, terutama bidang sains sosial, mana-mana nama selepas pengarang kedua akan dianggap pembonceng gratis (percuma) yang biasanya tidak menyumbang apa-apa untuk kandungan makalah tersebut. Kertas seumpama ini juga seringnya berakhir dengan rujukan rendah, iaitu ia tidak dianggap penting atau bermakna oleh penyelidik yang sama dalam bidang:
Andon, P., Free, C., Jidin, R., Monroe, G.S., Turner, M.J.. 2018. The Impact of Financial Incentives and Perceptions of Seriousness on Whistleblowing Intention. Journal of Business Ethics. Volume 151, Issue 1: Pages 165-178.
Harding, N., Azim, M.I., Jidin, R., Muir, J.P. 2016. A Consideration of Literature on Trust and Distrust as they Relate to Auditor Professional Scepticism. Australian Accounting Review. Volume 26, Issue 3: Pages 243-254.
20. Maka kebanyakan orang universiti yang mencari nama Radzi Jidin akan terkejut apabila melihat penilaian H-indeks beliau. H-indeks adalah satu indeks untuk mengukur pengaruh atau kepentingan seseorang sarjana. Penilaian H-indeks Radzi adalah 2, skor rendah yang memalukan. Ini rupanya kehebatan Radzi di Australia setelah ditanggung hidupnya oleh pembayar cukai dari Malaysia.
21. Di sesetengah universiti penyelidikan di Malaysia, seorang pelajar PhD diminta menerbitkan sehingga tiga artikel jurnal ilmiah di penerbitan tersohor sebelum diizinkan menduduki peperiksaan lisan dan menghantar tesis. Peraturan ini membolehkan calon PhD beroleh H-indeks dengan jumlah 2 atau lebih dalam tempoh yang singkat. Kadang-kadang H-indeks mereka sudah menjulang tinggi serentak mereka menerima skrol ijazah kedoktoran di Majlis Konvokesyen. Jadi, semua orang universiti tahu yang tahap Radzi Jidin cukup bawah, rendah dan terperesok jauh ke dalam berbanding siswa Phd di Malaysia sendiri. Ini bererti, Radzi hanyalah seorang yang biasa-biasa.
22. Mengapa seorang yang biasa-biasa seperti ini dipertanggungjawabkan menjaga pendidikan anak-anak? Dan ini menjelaskan mengapa beliau tidak ada idea, atau bangkrap idea untuk ditawarkan kepada anak-anak sekolah dan guru kita. Kasihan kita. Inilah yang diberikan oleh Muhyiddin Yassin dan kerajaan Pakatan Nasional.
23. Setelah dua puluh tahun di Australia, Radzi Jidin hanya mampu meraih status yang sama diperolehi oleh seorang graduan PhD di Malaysia dalam masa 3 sehingga 4 tahun. Seorang sarjana tulen lazimnya sudah punya ratusan penerbitan dalam tempoh dua dekad. Dari Canberra, Australia kemudian Radzi berpindah ke Sydney dan akhirnya di Hobart untuk mencari tapak lebih kukuh. Akan tetapi, nasib dalam dunia akademik ialah jika kamu tidak menerbitkan, kamu akan karam. Untuk orang universiti, penerbitan kajian adalah segala-galanya. Jika tidak menerbit, sekadar sebuah bab dalam buku seperti Radzi, mereka biasanya akan dibuang dari universiti. Apatah lagi di Australia. Adakah beliau pulang ke Malaysia untuk menyelamatkan diri atau berkhidmat kepada negara?
24. Beliau pulang kerana tiada lagi masa depan di Australia. Berdasarkan rekod penerbitan beliau yang lemah, beliau tidak akan layak pun sebagai seorang pensyarah di mana-mana universiti di Malaysia. Itulah orang yang diberi tugas menjaga pendidikan dan masa depan anak-anak Malaysia. Mutu rendah hanya akan melahirkan mutu yang rendah juga. Ini membuatkan kita faham mengapa Radzi bercakap seperti orang yang tidak tahu apa-apa pun tentang sekolah di Malaysia.
25. Pendidikan anak-anak Malaysia tidak harus diperjudikan nasib mereka oleh Radzi, seorang ahli akademik yang gagal. Akan tetapi inilah yang diperolehi oleh rakyat Malaysia dari sebuah kerajaan yang tidak punya mandat dan ditubuhkan secara tergesa-gesa.
Nukilan:
Rakan se-universiti dan perjuangan.